PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir serta angin kencang di lapan negeri hingga pukul 6 petang ini.
Menurut MetMalaysia, cuaca buruk dijangka melanda Perak di Hulu Perak dan Kelantan di Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.
Di Terengganu membabitkan Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman manakala Pahang di Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin.
“Selain itu, Sarawak di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Mukah (Mukah), Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong) dan Bintulu,” ujarnya.
Tambahnya, cuaca buruk turut diramalkan melanda seluruh Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE