RANTAU PANJANG – Seorang penyeludup melarikan diri selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya yang membawa sebanyak 40 tong diesel ditahan di Kampung Dangar di sini semalam.
SUV jenis Mitsubishi Pajero itu ditahan kira-kira pukul 9 pagi semasa Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, anggota PGA cuba menahan kenderaan tersebut selepas mendapati ia dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan kampung itu.
Menurutnya, pemandu SUV berkenaan terus melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan.
“Pemeriksaan di dalam Mitsubishi Pajero itu membawa kepada penemuan 40 tong jerikin berisi minyak diesel sebanyak 1,000 liter.
“Minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM2,930 mengikut harga pasaran semasa itu disyaki akan diseludup ke Thailand,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Ijid Landu memberitahu, rampasan keseluruhan bernilai RM42,900 termasuk harga kenderaan itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negara dan Kos Sara Hidup Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE