KUANTAN – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila memacu pelaburan direalisasi berjumlah RM5 bilion serta pelaburan komited RM3.9 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan ini membuktikan kedudukan Pahang sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan destinasi pelaburan berdaya saing.
“Pelaburan direalisasi ini mewakili 90 peratus daripada sasaran ECERDC iaitu RM5.6 bilion bagi tahun 2025, diterajui oleh sektor pembuatan (41 peratus), minyak dan gas (34 peratus) serta perkhidmatan (25 peratus) yang secara keseluruhan mewujudkan 2,846 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Pahang.
“Sementara itu, pelaburan komited berjumlah RM3.9 bilion yang menumpu kepada sektor pembuatan (95 peratus) dan pertanian (5 peratus) dijangka menghasilkan 3,185 peluang pekerjaan tambahan setelah direalisasikan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang di Putrajaya hari ini, dua acara telah berlangsung iaitu pertukaran dokumen antara ECERDC dengan empat syarikat utama yang melabur di Pahang bernilai RM1.6 bilion, serta penyerahan Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cerating kepada Jabatan Perikanan Negeri Pahang.
Katanya, empat syarikat yang memeterai pelaburan di Pahang adalah PKNP Fire Phoenix Data Center Sdn Bhd, untuk menubuhkan Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI); Sinolion Wheels Technology Sdn Bhd untuk menghasilkan rim roda aloi aluminium; Malaysian Solar Resources Sdn Bhd untuk membangunkan kilang pembuatan teknologi hijau dan Lionphos Sdn Bhd untuk menghasilkan fosfat gred makanan dan gred elektronik.
“Kerajaan negeri juga mengalu-alukan penyerahan Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cerating kepada Jabatan Perikanan Pahang yang menandakan kemajuan penting dalam bidang ekopelancongan dan pemuliharaan biodiversiti.
“Kerajaan Negeri menyokong penuh usaha ECERDC dalam menjayakan pelaburan strategik bernilai tinggi yang sejajar dengan Aspirasi Pahang 1st demi pertumbuhan mampan, inovasi dan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat negeri ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE