KAPTEN skuad Harimau Malaya, Dion Cools memberi jaminan misi meraih tiket kelayakan ke pentas Piala Asia 2027 masih lagi menjadi keutamaan menjelang aksi Kumpulan F menentang Laos di Stadium Nasional, Vientiane malam ini.
Menurut Cools, tiada apa lagi yang disasarkan oleh pasukan selain daripada memastikan impian untuk beraksi pada kejohanan berprestij yang bakal berlangsung di Arab Saudi pada dua tahun lagi dapat direalisasikan.
“Barisan pemain semua sudah melakukan persiapan yang rapi pada jendela antarabangsa kali ini dan bersedia untuk harungi perlawanan getir menentang Laos.
“Secara umum, fokus kami adalah untuk meraih tiket kelayakan automatik ke Piala Asia dan inilah impian seluruh rakyat Malaysia termasuk diri saya.
“Justeru, pasukan perlu berikan yang terbaik untuk menentang negara yang kuat sekali gus mencerahkan lagi peluang pasukan (untuk layak),” kata tonggak kelab Liga Jepun, Cerezo Osaka itu.
Seramai 28 pemain telah dibawa oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski untuk mengharungi dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada kali ini.
Rekod skuad Harimau Malaya menentang Laos juga cukup baik selepas menang tujuh perlawanan berturut-turut sejak tahun 2008.
Kali terakhir pasukan negara menang ke atas negara di ranking ke-185 dunia itu pada aksi persahabatan, November lepas yang menyaksikan Malaysia menang 3-1 di Bangkok, Thailand.