fbpx
Johari (dua kiri) melancarkan gimik pada majlis pembukaan Persidangan Ekonomi Getah Antarabangsa (IREC) di The Westin Kuala Lumpur di sini, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

Malaysia peneraju utama inovasi getah global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Industri getah negara melakar satu lagi pencapaian bersejarah apabila genap 100 tahun penyelidikan dijalankan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM), sekali gus menandakan perjalanan panjang sektor itu dalam membina daya saing dan sumbangan terhadap ekonomi negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sepanjang tempoh satu abad itu, LGM telah memainkan peranan penting dalam memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menjadikan Malaysia antara peneraju utama dalam inovasi getah di peringkat global.

“Industri getah ni memang dah lama, tapi penyelidikan kita di bawah LGM sudah mencecah 100 tahun. Banyak perubahan kita dapat lihat sepanjang tempoh itu. Dulu,

Malaysia merupakan pengeksport getah asli nombor satu dunia, tetapi sekarang kita berada dalam kelompok 10 negara pengimport terbesar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan International Rubber Economic Conference (IREC) 2025 di Hotel Westin, di sini, hari ini.

Beliau berkata, persidangan dwitahunan itu menghimpunkan wakil dari hampir 13 negara bagi membincangkan hala tuju dan cabaran semasa industri getah global, termasuk isu kemampanan serta strategi pasaran masa depan.

Johari menjelaskan, meskipun Malaysia tidak lagi mendominasi eksport getah asli seperti dahulu, namun sektor hiliran negara kini berkembang pesat dan menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara.

“Tahun 2024 sahaja, nilai eksport keseluruhan produk getah negara mencecah RM33 bilion. Ini membuktikan aktiviti hiliran kita semakin kukuh dan mampu menjana hasil besar walaupun kita banyak mengimport bahan mentah,” katanya.

Tambahnya, Malaysia kini mengimport kira-kira RM7.5 bilion getah asli setiap tahun daripada negara-negara pengeluar bagi menampung keperluan industri tempatan yang semakin meningkat.

Namun begitu, Johari berkata, kerajaan melalui LGM dan RISDA sedang merangka pelan jangka panjang di bawah MRB Strategic Plan 2026-2030 untuk mengaktifkan semula ladang-ladang getah terbiar di seluruh negara.

“Masih ada banyak kawasan ladang getah yang tidak diusahakan. Jadi, strategi kita antara tahun 2026 hingga 2030 ialah untuk aktifkan semula kawasan ini supaya kita dapat kurangkan kebergantungan terhadap import getah asli,” katanya.

Beliau optimis, langkah menghidupkan semula ladang terbiar itu bukan sahaja akan meningkatkan pengeluaran domestik, malah membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta menambah pendapatan pekebun kecil.

Katanya, usaha ini juga akan mengurangkan aliran keluar modal negara yang besar akibat kebergantungan kepada import bahan mentah, sekali gus mengukuhkan rantaian nilai industri getah tempatan.

“Selagi kita dapat pastikan bekalan getah asli mencukupi dalam negara, industri ini akan terus berkembang dan menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI