KUALA LUMPUR – Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang merangka Pelan Strategik MRB 2026-2030 bagi memperkukuh daya saing daan kelestarian jangka panjang industri getah yang menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pelan strategik lima tahun itu akan menjadi panduan penting untuk membangunkan industri getah secara menyeluruh dan mampan, seiring dengan perubahan global serta permintaan terhadap produk lestari.
Katanya, pelan tersebut memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu meningkatkan produktiviti getah, memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D), memperkasakan perkhidmatan sokongan industri serta mempertingkat tadbir urus dan kecekapan operasi LGM.
“Pendekatan strategik ini penting untuk memastikan industri getah negara kekal relevan, berdaya tahan dan mampu bersaing di pasaran antarabangsa.
“Kita mahu pastikan Malaysia terus menjadi peneraju utama dalam pengeluaran getah berkualiti tinggi,” katanya ketika merasmikan Persidangan Ekonomi Getah Antarabangsa (IREC) 2025 di Hotel Westin, di sini, hari ini.
Johari berkata, pelan itu juga sejajar dengan Dasar Agri Komoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) yang digerakkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui lima tonggak utama iaitu kelestarian, produktiviti, penciptaan nilai, pembangunan pasaran dan keterangkuman.
Beliau menjelaskan, pelan strategik berkenaan bukan sekadar memperkukuh pengeluaran getah, tetapi turut memfokuskan kepada penambahbaikan rantaian bekalan, penggunaan teknologi baharu serta peningkatan taraf hidup penoreh kecil.
“LGM komited memastikan setiap peladang kecil mendapat manfaat daripada kemajuan industri ini. Kita mahu industri getah bukan sekadar berkembang, tetapi berkembang secara adil dan lestari,” katanya.
Menurut Johari, LGM turut giat melaksanakan inisiatif Malaysian Sustainable Natural Rubber (MSNR) yang kini diperluas ke Sabah dan Sarawak selepas mendapat pengiktirafan daripada Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Lembaga Industri Getah Sarawak (SARIB).
Katanya, MSNR merupakan inisiatif penting bagi memperkukuh aspek kebolehjejakan dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa termasuk European Union Deforestation Regulation (EUDR) yang akan dikuatkuasakan pada penghujung 2025.
“Langkah ini menjadikan Malaysia antara negara terawal di rantau ini yang bersedia menghadapi keperluan perdagangan global berasaskan kelestarian dan ketelusan.
“Gabungan inovasi, dasar mampan dan tadbir urus berkesan ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan semula industri getah tempatan serta menjana peluang ekonomi kepada lebih 300,000 rakyat yang bergantung kepada sektor ini,” katanya.
Johari turut menzahirkan penghargaan kepada LGM kerana terus memainkan peranan penting selama 100 tahun dalam penyelidikan dan pembangunan getah di Malaysia, sekali gus memastikan industri itu terus relevan dan menyumbang kepada kemakmuran negara. – KOSMO! ONLINE.