fbpx
Gambar hiasan

Lelaki pukul anak tidak basuh pinggan didenda RM8,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang tukang paip didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah mendera anak perempuannya kerana tidak membasuh pinggan, awal bulan lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 42 tahun itu didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak kandungnya yang berusia 11 tahun 10 bulan dengan memukul mangsa menggunakan penyangkut baju sehingga menyebabkan kecederaan pada beberapa bahagian badan kira-kira pukul 2 petang, 3 Oktober lalu di sebuah kondominium di Taman Metropolitan, di sini.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh, faktor trauma terhadap mangsa serta usia mangsa yang masih kecil.

“Pada usia sebegini, mangsa seharusnya dilindungi dan bukannya menjadi mangsa penderaan oleh individu yang sepatutnya melindunginya.

“Kejadian penderaan ini juga bukan kali pertama berlaku, malah perbuatan tertuduh yang mendera anak kandung sendiri telah menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap mangsa,” katanya.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah berkerusi roda tanpa diwakili peguam bagaimanapun memohon maaf dan menyatakan rasa kesal atas perbuatannya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000. Gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama lapan bulan.

Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM1,000 dengan seorang penjamin, selain diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 36 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI