fbpx
Dr. Zaliha pada sidang di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Jabatan Penerangan

Kampung Sungai Baru: Pemaju setuju kurangkan caj penyelenggaraan bangunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pemaju pembangunan Kampung Sungai Baru bersetuju dan komited untuk mengurangkan beban caj penyelenggaraan bangunan baharu yang perlu ditanggung oleh pemilik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, antara mekanisme bersesuaian untuk mengurangkan beban caj penyelenggaraan tersebut seperti konsep wakaf.

“Saya telah memanggil pemaju dan meminta untuk mereka mengkaji secara terperinci kaedah atau mekanisme yang bersesuaian untuk mengurangkan beban caj penyelenggaraan tersebut seperti konsep wakaf atau yang seumpamanya.

“Pemaju telah pun menyatakan persetujuan dan komitmen mereka untuk mengatasi isu ini,” katanya pada sesi penerangan berhubung hala tuju projek pembangunan tersebut di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dr. Zaliha berkata, dalam aspek meningkatkan pemilikan Melayu dalam projek itu, beliau telah mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk merangka dan mengkaji pelaksanaan dasar serta inisiatif baharu.

Menurut beliau, ia termasuk berhubung potensi penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam pembangunan projek dan penetapan syarat bahawa rumah ganti hanya boleh dimiliki oleh Melayu.

Tambahnya, bagi meningkatkan peratusan pemilikan Melayu, beliau telah mengarahkan satu dokumen dasar digubal yang mewajibkan kepelbagaian jenis pembangunan khususnya di kawasan Kampung Sungai Baru.

“Supaya wujudnya kategori baharu seperti kondominium mampu milik Melayu, bangunan pejabat kecil pejabat rumah (Soho) mampu milik Melayu, rumah kedai mampu milik Melayu dan ruang pejabat mampu milik Melayu selain daripada meneruskan projek Residensi Madani dan Residensi Wilayah,” katanya.

Menurutnya, beliau juga telah meminta pemaju mewujudkan pasukan petugas khas untuk meneliti kepentingan dan keutamaan orang Melayu dalam pembangunan Kampung Sungai Baru.

Katanya, ia termasuk melalui kerjasama dengan GLC seperti UDA Holdings atau menubuhkan konsortium yang mengumpulkan syarikat-syarikat pembangunan GLC lain bagi memastikan kepentingan dan pemilikan orang Melayu terjaga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI