KUALA NERUS – Dua peserta Global Sumud Flotilla (GSF), Ustaz Muhammad Abdullah, 32, dan Mohd. Asmawi Mukhtar, 52, berhasrat untuk kembali menyertai misi kemanusian ke Gaza, Palestin bagi meneruskan hasrat menghantar bantuan yang tertangguh sebelum ini.
Muhammad yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik berkata, misi baharu dirancang cuba memasuki Gaza untuk menghantar bantuan menggunakan laluan darat dari Rafah, Mesir.
“Insya-Allah kalau diberi kekuatan, kami akan cuba masuk ke bumi Gaza melalui Rafah. Pihak Sumud Nusantara sedang berbincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk mendapatkan kebenaran.
“Peluang untuk masuk ke Gaza kali ini nampak lebih cerah selepas perjanjian damai diumumkan,” katanya selepas kepulangan bersama Mohd. Asmawi merupakan anak Terengganu disambut di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, hari ini.
Ustaz Mad Kecik yang menaiki kapal Fair Lady berkata, pengalaman perit ditahan Tentera Pertahanan Israel (IDF) tidak mematahkan semangat mereka untuk terus memperjuangkan hak rakyat Palestin.
“Doa itu senjata terakhir untuk menyelamatkan mereka. Kalau kita berhenti bercakap tentang Palestin, seolah-olah kita beri kemenangan kepada musuh,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Asmawi yang menaiki kapal Estrella pula berkata, misi kemanusiaan mereka tidak akan berhenti selagi Palestin belum dibebaskan sepenuhnya daripada kekejaman Zionis.
“Misi akan diteruskan walaupun nyawa menjadi taruhan. Ini perjuangan kemanusiaan, bukannya politik,” katanya. – KOSMO! ONLINE