KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menyambut baik laporan mengenai kemajuan rundingan bagi mencapai gencatan senjata di Gaza yang disifatkan sebagai sinar harapan selepas berbulan-bulan penderitaan dan kemusnahan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap usaha untuk menghentikan keganasan dan melindungi nyawa orang tidak berdosa perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan serta segera.
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menuntut keadilan, maruah dan penubuhan negara sendiri.
“Saya menyeru semua pihak berkaitan agar merebut peluang ini bagi menuju ke arah keamanan yang menyeluruh dan berkekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE