KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dipaksa bekerja keras sebelum meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Arctic.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Energia Areena sebentar tadi, bekas juara dunia itu mencatat kemenangan 21-18, 21-15 ke atas pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.
Turun sebagai pilihan utama kejohanan, Aaron-Wooi Yik pada awalnya berdepan detik cemas apabila ketinggalan 8-11 di set pertama sebelum bangkit mencatat kemenangan 21-18.
Momentum itu berjaya diteruskan dalam set kedua apabila mereka mula menampilkan corak permainan sebenar, sekali gus menguasai sepenuhnya perlawanan dan menang 21-15.
Menjelang pusingan kedua esok, Aaron-Wooi Yik dijadualkan bertemu rakan senegara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong yang mendapat ‘bye’ di pusingan pertama.
Gandingan No.2 dunia itu pastinya memburu keputusan terbaik pada Terbuka Arctic sebelum menggalas cabaran lebih sukar pada Terbuka Denmark minggu depan.
Satu lagi beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan China, Huang Di-Liu Yang. – KOSMO! ONLINE