Ramai yang skeptikal apabila misi Global Sumud Flotilla (GSF) dilancarkan penghujung Ogos lalu yang mahu menghentikan kepungan tentera Zionis ke atas Gaza seterusnya menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang kelaparan.
Bukan sahaja di negara lain, malah terdapat juga rakyat Malaysia seolah-olah buta hati dan perasaan mengatakan ia adalah satu gerakan sia-sia atas alasan mustahil untuk sampai ke Gaza yang dikawal ketat oleh tentera Zionis Israel.
GSF merupakan misi maritim terbesar ke Gaza, menghimpunkan delegasi dari 44 negara termasuk Australia, Brazil, Sweden, Afrika Selatan dan beberapa negara Eropah menggunakan lebih 50 kapal bagi mencabar sekatan haram Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin yang berdepan kebuluran.
Inisiatif ini meneruskan jejak misi flotilla terdahulu, seperti pelayaran kapal Mavi Marmara pada tahun 2010 yang menjadi simbol penentangan dunia terhadap ketidakadilan yang konsisten menyuarakan solidariti terhadap Palestin.
Selain 23 aktivis dan sukarelawan Malaysia yang berani dan bersemangat tinggi, aktivis kemanusiaan dan tokoh alam sekitar, Greta Thunbergn turut serta bagi menyampaikan mesej perpaduan, solidariti global serta sokongan buat Gaza.
Di sepanjang pelayarannya, GSF berdepan pelbagai ujian dan dugaan termasuk cuaca buruk, kapal yang rosak dan yang paling teruk diserang dron daripada pihak Israel.
Ini menyemarakkan lagi kemarahan masyarakat antarabangsa yang terus mengadakan tunjuk perasaan terutama di Eropah hinggalah pada satu tahap, Itali yang majoriti rakyatnya beragama Katholik lumpuh ekoran rakyatnya menutup pelabuhan, sekolah dan berarak di jalan-jalan raya menunjukkan solidariti kepada Palestin.
Kemuncaknya pada 2 Oktober lalu, pasukan komando elit laut Israel, Shayetet 13 memintas semua kapal flotila dan menahan kesemua aktivis yang sememangnya sudah bersedia dengan kemungkinan itu sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel.
Semasa ditahan terdengar cerita menakutkan daripada para aktivis yang ditahan termasuk mereka diminta berlutut selama lima jam dan tangan diikat, selain dikejutkan dengan cara kasar ketika cuba melelapkan mata.
Ada juga aktivitis wanita Muslim dipaksa membuka hijab dan dimalukan pada tahap tidak terfikir oleh akal yang waras
.
Alhamdulillah, 23 rakyat Malaysia yang ditahan dibebaskan hasil campur tangan kerajaan Malaysia dengan bantuan beberapa negara termasuk Turkiye.
Kalau begini layanan diterima para aktivis yang tidak bersenjata dan datang membawa bantuan ubat-ubatan, makanan dan keperluan lain buat rakyat Gaza, bayangkanlah bentuk hukuman diterima warga Palestin yang ditindas lebih 70 tahun oleh Zionis.
Mereka bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah terpisah dengan keluarga yang dibunuh dengan kejam tanpa rasa bersalah seolah-olah nyawa mereka tidak berharga.
Hakikatnya misi GSF mencapai kemenangan moral yang telah membuka mata dunia betapa kejamnya rejim Zionis yang selama ini menjadikan Gaza sebuah penjara terbuka.
Hari ini satu dunia bercakap tentang Palestin khususnya Gaza hasil pengorbanan dan kesungguhan manusia pemberani menggerakkan misi GSF demi menceritakan betapa buruknya perangai Zionis.
Nampaknya, usaha GSF yang terhenti selepas ditahan tentera Zionis diambil alhi oleh gelombang ketiga misi flotila ke Gaza yang digerakkan oleh Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang menggunakan kapal terbesar, Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali 1 Oktober lalu.
Kapal itu membawa 94 peserta daripada 25 negara termasuk lapan dari Malaysia terdiri daripada wartawan, pakar perubatan, aktivis dan ahli parlimen.
Inilah yang kita mahukan, satu misi dihenti secara paksa, muncul misi yang lain meneruskan usaha murni meneruskan pelayaran demi rakyat Gaza yang dahagakan bantuan makanan, ubat-ubatan dan seumpamanya.














