KOTA BHARU – Sekolah pondok, Madrasah Ahbabul Mustafa Al Islamiah di Tumpat dekat sini yang mempunyai kaitan dengan seorang mudir dikenali sebagai ‘Abuya’ didapati beroperasi secara tidak berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).
Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Mohd. Anis Hussein berkata, madrasah itu tidak pernah menghantar permohonan bagi pendaftaran sekolah atau pengajian agama.
Menurutnya, tindakan itu tidak mengikut peruntukan subseksyen 96 (1) Enakmen Maik Bilangan 4 Tahun 1994 kepada pihak Maik.
“Maik telah menyelaras tindakan sewajarnya bersama-sama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk melaksanakan penguatkuasaan ke atas madrasah tersebut dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang mudir sebuah pondok, Mohamad Aswadi Yah, 46, yang dikenali sebagai ‘Abuya’ didakwa di mahkamah atas 14 pertuduhan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajar lelaki dan satu pendakwaan memiliki gambar lucah di dalam telefon miliknya.
Lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas dekat sini pada 11 September lalu atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki dan memiliki gambar lucah pada Jun 2024 hingga 20 Ogos lalu.
Mudir itu kemudian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu pada 18 September lalu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun.
Terbaharu, Mohamad Aswadi sekali lagi dituduh di Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada 24 September lalu atas enam lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun sejak Mac hingga Jun lalu. – KOSMO! ONLINE