KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat 31 Ogos lalu seramai 16.5 juta orang dengan jumlah simpanan sebanyak RM1.31 trilion.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, seramai 9 juta atau 55 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP adalah ahli aktif dengan jumlah simpanan sebanyak RM1.07 trilion.
“Setakat 31 Ogos lalu juga, 23.9 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP berumur 18 hingga 55 tahun mencapai tahap simpanan asas mengikut umur.
“Peratusan yang rendah ini dipengaruhi faktor hampir separuh daripada jumlah ahli adalah tidak aktif mencarum,” katanya semasa menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Hui Ying berkata, pencapaian bagi ahli aktif formal pula, 38.8 peratus daripada ahli aktif formal berumur 18 hingga 55 tahun sudah mencapai tahap simpanan asas mengikut umur.
Menurut beliau, pencapaian itu peningkatan baik berbanding 30.4 peratus pada akhir 2022 iaitu kesan daripada pengeluaran berkaitan pandemik Covid-19.
Ujar beliau, situasi ketidakcukupan simpanan persaraan dipengaruhi beberapa faktor seperti struktur gaji rendah serta umur layak untuk melakukan pengeluaran penuh iaitu 55 tahun tidak selaras dengan umur persaraan Malaysia.
Selain itu, katanya, caruman yang tidak konsisten serta kadar celik kewangan di kalangan rakyat Malaysia yang rendah menyebabkan kurang kesedaran terhadap kepentingan perancangan kewangan dan persaraan.
Menjawab soalan tambahan Wee Tse, Hui Ying berkata, Ahli KWSP sedia ada boleh menyertai skim pengeluaran bulanan berstruktur apabila kaedah itu dilaksanakan.
Beliau berkata, mana-mana ahli KWSP sedia ada boleh mendaftar sebaik skim berkenaan diperkenalkan kelak.
“Struktur baharu apabila ahli mencapai umur persaraan minimum terpakai kepada ahli baharu KWSP yang mendaftar selepas tarikh pelaksanaannya saja.
“Namun pada masa akan datang, jika sudah dilaksana, ahli sedia ada yang mahu menyertai skim itu pun boleh,” katanya
Beliau menjelaskan, cadangan berhubung skim pengeluaran bulanan berstruktur KWSP bagaimanapun masih di peringkat penelitian.
Ujarnya, keputusan hanya dibuat selepas sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk pertimbangan terhadap kepentingan jangka panjang pencarum.
“Ini masih belum diputuskan dan masih dalam kajian. Secara asasnya, mekanisme akaun ini terbahagi kepada dua komponen termasuk simpanan fleksibel.
“Simpanan fleksibel boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut kehendak ahli dan simpanan pendapatan diagihkan secara berkala atau bulanan sehingga habis,” katanya. – KOSMO! ONLINE