BALIK PULAU – Guru lelaki yang bertindak mengelar isterinya dengan sebilah pisau, pada 27 Ogos lalu sehingga hari ini masih menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak.
Tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, dimasukkan ke hospital berkenaan pada 4 September lalu.
Bapa kepada seorang anak itu sepatutnya hadir ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi sebutan semula kes tersebut.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa laporan psikiatri masih belum diperoleh daripada pihak hospital berkenaan.
“Setakat ini, kami dimaklumkan bahawa laporan psikiatri masih belum sedia. Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon satu tarikh lain bagi sebutan semula serta kehadiran orang kena tuduh (OKT),” katanya di sini.
Sementara itu, peguam bela Yazid Khairul ketika ditemui di luar pekarangan mahkamah pula memberitahu, anak guamnya kini ditempatkan di Wad Forensik Akut dan sebarang pertemuan memerlukan kebenaran daripada pakar perubatan.
Bagaimanapun, selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menetapkan 5 November depan untuk penyerahan laporan psikiatri serta kehadiran OKT.
Pada 4 September lalu, Mahkamah Majistret di sini memerintahkan guru lelaki terbabit dirujuk ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi, 27 Ogos lalu, guru lelaki itu bertindak mengelar leher isterinya sebelum mencederakan dirinya sendiri dengan menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di bilik tidur pasangan tersebut di Taman Tunas Muda, Sungai Ara.
Kejadian berlaku sebelum Subuh itu disedari oleh ibu mangsa yang terdengar jeritan anak perempuannya dari tingkat atas rumah dua tingkat tersebut
Ibu mangsa melihat anaknya ditindih sebelum menarik wanita itu turun dari katil bagi menyelamatkan mangsa.
Siasatan awal pihak polis mendapati punca kejadian disebabkan suspek berdepan masalah hutang pinjaman dengan pihak bank untuk pelaburan saham, selain menanggung bayaran ansuran pembelian barangan melalui platform e-dagang. – KOSMO! ONLINE