BERLIN – Sepasukan anggota bomba dipanggil sebanyak tiga kali dalam masa sehari susulan insiden yang disyaki berpunca daripada kebocoran gas di barat bandar Jerman, lapor laman berita VnExpress kelmarin.
Namun, pasukan itu kemudian mendapati bahawa semua insiden tersebut sebenarnya berpunca daripada bau buah durian.
Kejadian pertama berlaku pada petang Sabtu lalu apabila pengunjung di sebuah pusat beli-belah di Wiesbaden melaporkan bau gas yang kuat.
Pasukan bomba memeriksa kawasan tersebut tetapi tidak menemui sebarang masalah.
Beberapa jam kemudian, satu lagi panggilan dibuat dari kawasan kejiranan yang sama dan kali ini, anggota-anggota bomba berjaya menjejaki bau itu di sebuah pasar raya Asia.
Mereka mendapati, terdapat beberapa buah durian diletakkan di dalam peti.
Sistem pengudaraan pusat beli-belah itu telah menyebarkan baunya ke seluruh bangunan, lapor laman berita Deutsche Welle.
Menjelang malam, satu lagi amaran berbunyi, di mana penduduk sebuah blok apartmen mengadu terdapat bau gas di kawasan mereka.
Anggota bomba tiba dengan persediaan menghadapi keadaan terburuk, tetapi mendapati bahawa seorang penyewa membawa pulang sebiji buah durian. – AGENSI