fbpx
Sebahagian pelajar yang mengalami simptom jangkitan influenza menerima rawatan di Klinik Kesihatan Merbok. Foto oleh OTHMAN YAHAYA

22 kes influenza di MRSM Merbok, pelajar jalani PdPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Penularan kluster influenza di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok dalam daerah Kuala Muda terkawal dengan hanya 22 daripada 302 pelajar yang mengalami simptom disahkan positif jangkitan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, pihak pengurusan institusi pendidikan tersebut mengambil tindakan awal termasuk membenarkan pelajar pulang bagi mengekang penularan.

“Daripada 302 kes pelajar itu, hanya 22 sahaja disahkan positif dan menerima rawatan di hospital sementara pelajar lain hanya pesakit luar. Keadaan pelajar yang dijangkiti itu stabil.

“Kesemua pelajar institusi pendidikan tersebut dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kecuali pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda bersama agensi berkaitan telah turun ke lokasi bagi menjalankan pemantauan dan pemeriksaan lanjut.

“Salah satu faktor yang dikesan adalah para pelajar tidak memakai pelitup muka dan bergaul tanpa jarak sehingga mengakibatkan penularan jangkitan. Pihak terlibat turun padang dan memberi penjelasan dan maklumat seperti ini.

“Mereka juga akan turun padang ke institusi pendidikan termasuk sekolah lain juga yang berpotensi berlaku jangkitan,” ujarnya.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya memakai pelitup muka, menjaga kebersihan tangan dan menjarakkan diri daripada rakan lain bagi mengelakkan jangkitan.

“Kita nasihatkan mereka mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan terutama ibu bapa yang mempunyai anak kecil di sekolah atau tadika kalau mempunyai simptom jangan benarkan mereka ke sekolah kerana influenza ini mudah menular,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI