KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan dana sebanyak RM3 juta bagi pemasangan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di 200 buah asrama sekolah bermula 13 Oktober ini bagi menangani gejala buli.
Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, lokasi pemasangan CCTV di asrama sekolah kendalian KPM tersebut adalah berdasarkan khidmat nasihat oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO)
Tambah beliau, pengurusan tertinggi KPM, pengarah pendidikan negeri dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan turut melakukan lawatan mengejut termasuk pada waktu malam ke asrama untuk menilai kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Kata beliau, langkah lain bagi menangani isu buli dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan (JKRKIP) dan melaksanakan audit keselamatan di seluruh Malaysia bermula 19 Ogos 2025.
“Berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), kes salah laku buli yang direkodkan pada tahun 2023 adalah 6,528 kes, manakala bagi tahun 2024 adalah 7,681 kes. Usaha memerangi kes buli perlu didukung semua pihak secara berterusan.
“KPM yakin dengan kerjasama bersepadu warga sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan, gejala buli dapat ditangani secara lebih berkesan demi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) berhubung langkah menangani kes buli yang semakin membimbangkan termasuk mekanisme pencegahan, pengawasan, intervensi awal dan tindakan tegas terhadap pelaku dan pihak pentadbiran yang cuai.
Kah Woh berkata, antara langkah lain diambil untuk menangani gejala buli dengan menubuhkan Jawatankuasa Semakan Semula Prosedur Operasi Standard Salah Laku Buli dan Seksual serta melaksanakan Reformasi Sistem Aduan Buli.
Kata beliau, langkah lain dilaksanakan KPM adalah mengenakan tindakan ke atas pentadbir, guru dan PPD yang cuai atau gagal mengurus aduan buli mengikut garis panduan.
Ujar beliau, KPM turut menegaskan pendekatan tiada kompromi terhadap buli dengan hukuman tegas seperti gantung sekolah dan buang sekolah bagi pesalah buli.
Selain itu, katanya, KPM nelaksanakan pelbagai program intervensi seperti program Bangkit Bermaruah dan memantapkan sokongan psikososial dengan memperkukuh peranan guru bimbingan dan kaunseling.
“Berdasarkan data sehingga Oktober 2025, seramai 3,752 pentadbir sekolah telah diberi latihan merangkumi bidang pengurusan hal ehwal murid, pengurusan disiplin, pengurusan kaunseling, literasi undang-undang, konsep dan amalan.
“KPM turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan Program Kempen Antibuli dalam kalangan murid bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat,” katanya.
Kata beliau, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) pula sedang meneliti cadangan keperluan menggubal Akta Anti Buli menggunakan sistem tribunal bagi kes membabitkan murid dan kanak-kanak.
“Cadangan oleh BHEUU ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. KPM juga sedang melaksanakan penggubalan baharu kepada Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) bawah Akta Pendidikan 1996,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, KPM telah mengeluarkan surat pekeliling memberi penegasan kepada pihak sekolah bahawa hukuman merotan merupakan sebahagian daripada proses pendidikan dan hendaklah mematuhi tatacara pelaksanaan hukuman rotan sepenuhnya.
“Hukuman rotan hendaklah dijadikan sebagai langkah terakhir yang boleh diambil oleh pihak sekolah dalam menjaga disiplin murid setelah semua intervensi dilaksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE