fbpx
Tangkap layar video Mohd. Afandi yang menaiki kapal Conscience berkongsi perkembangan terkini misi FFC x TMTG.

[VIDEO] Freedom Flotilla: Buat latihan diserang pukul 4 pagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dikejutkan seawal pukul 4 pagi bagi menjalani latihan antara yang dilakukan sukarelawan dan aktivis Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) sebagai persediaan berdepan pintasan tentera Israel.

Penolong Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Dr. Mohd. Afandi Salleh berkata, kesemua sukarelawan dan aktivis dikejutkan untuk menjalani latihan berkenaan yang mana ketika itu mereka sedang tidur.

“Tadi pagi semua dibangunkan dengan satu latihan iaitu persediaan bila kapal kami diserang. Tapi pagi ini agak luar biasa kerana (latihan) dibuat pada pukul 4 pagi sedang kami tidur.

“Jadi semuanya dengan segera bergegas ke dek atas memakai jaket keselamatan dan taklimat diberikan selepas itu,” katanya pada hantaran video di Facebook hari ini.

Beliau berkata, hari ini masuk hari kelapan pelayaran dan mereka kini berada sekitar 200 batu nautika sebelum sampai ke pantai Gaza.

“Alhamdulillah, kapal kami memulakan pelayaran selepas berhenti di tengah Laut Mediterranean hampir 36 jam. Awal pagi tadi kapal memulakan pelayaran balik bersama Thousand Madleens yang telah berada di hadapan.

“Kami paling belakang sekali dengan kelajuan saya kira amat perlahan. Kita tak pasti bila akan sampai ke sana atau memasuki zon merah dengan kelajuan ini,” katanya.

Berkongsi rutin di kapal Conscience, Mohd. Afandi berkata, rata-rata aktivis beragama Islam akan memulakan solat secara berjemaah.

“Kita melakukan solat jamak qasar semasa pelayaran ini. Sebagai contoh, solat subuh kami tentukan pukul 6 pagi setiap hari dengan imam bertukar-tukar.

“Tadi imam dari Jordan memberikan tazkirah selepas solat subuh menegaskan, betapa pentingnya mendekatkan diri kepada Allah di saat-saat genting ini. Hasrat kita sampai ke Gaza bukan senang.

“Beliau mencadangkan semua peserta banyak berzikir, banyak beristighfar, membaca al-Quran dan tidak melakukan maksiat atau apa-apa yang menyebabkan kita punya doa di saat ini,” katanya.

Beliau berkata, imam tersebut juga menjelaskan pertolongan Allah adalah yang paling besar boleh membawa aktivis dan sukarelawan misi berkenaan membawa ke bumi Gaza. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI