fbpx
Ketua Pegawai Eksekutif Citaglobal Environment, Thye Chee How(kiri, depan) bersalaman dengan Pengurus Besar Keppel, Tay Parng Tzuan pada majlis pemeteraian perjanjian antara dua syarikat sambil disaksikan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kuantan, Pahang.

Usaha sama Citaglobal Bioenergy, Keppel bangunkan projek Bio-CNG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Citaglobal melalui anak syarikatnya, Citaglobal Bioenergy Sdn Bhd (Citaglobal Bioenergy) telah memeterai perjanjian pembangunan bersama (JDA) bersama Keppel Decarb (Malaysia) Sdn Bhd (Keppel) untuk projek gas asli termampat bio (Bio-CNG) di Malaysia.

Kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuhkan agenda tenaga hijau Malaysia dengan menukar
sisa pertanian dan efluen minyak sawit kepada tenaga bersih dan boleh diperbaharui
untuk menjana industri serta memacu pertumbuhan ekonomi.

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citagloba, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria berkata, melalui JDA ini, pihaknya berhasrat muncul sebagai peneraju dalam sektor Bio-CNG Malaysia dengan memanfaatkan kepakaran luas Keppel Decarb dalam bidang penyahkarbonan serta infrastruktur tenaga boleh diperbaharui.

Menurut beliau, kerjasama dengan Keppel ini dijangka menjadi sebahagian daripada projek yang
dicadangkan iaitu Citaglobal Bioenergy dan Green Eco Park, komponen utama bagi taman perindustrian seluas kira-kira 98.8 hektar yang bakal dibangunkan oleh Citaglobal di Gebeng, Pahang.

Taman perindustrian itu akan terletak di Kawasan Perindustrian Gebeng, hab industri mapan dengan akses strategik ke infrastruktur utama termasuk pelabuhan, lebuh raya dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal siap.

“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Keppel dalam usaha perintis ini yang memperkukuh lagi peranan Citaglobal sebagai peneraju utama Malaysia dalam peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.

“Kami berkongsi aspirasi untuk merealisasikan penyebaran tenaga bersih mampan di seluruh Malaysia, bermula di negeri Pahang dan berpotensi diperluas ke Kelantan serta Terengganu,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Citaglobal dan Keppel telah memeterai Perjanjian Usaha Sama (JDA) dalam satu majlis  yang turut dihadiri oleh Sultan Pahang,   Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Citaglobal Bioenergy adalah anak syarikat milik penuh Citaglobal Environment Management Sdn Bhd, cabang pengurusan alam sekitar dan sisa milik penuh Citaglobal Bhd yang mengendalikan semua perniagaan berkaitan alam sekitar, pengurusan sisa dan aktiviti berkaitan bagi kumpulan itu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI