MELAKA – Seorang lelaki warga Mesir yang juga merupakan suami kepada cucu kerabat diraja didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan dadah, Sabtu lalu.
Tertuduh Hosam Mohamed Mahmoud Elsayed, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan kepada dirinya sendiri dadah berbahaya jenis 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carboxylic Acid (THC).
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di tandas pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada pukul 7 malam pada 4 Oktober lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara selama tidak lebih dua tahun mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama.
Kesalahan itu turut dibaca di bawah Seksyen 38B akta sama yang memperuntukkan hukuman menjalani pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh selepas mendapati pasportnya tidak mempunyai rekod perjalanan yang sah ke negara ini, namun akan mempertimbangkannya semula sekiranya tertuduh dapat mengemukakan alasan munasabah.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula adalah pada 19 November bagi serahan laporan patologi.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd. Rodzlad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- KOSMO! ONLINE