DALAM dunia hiburan digital pada hari ini, permainan video bukan sekadar aktiviti santai, malah sudah menjadi medium sosial, budaya dan gaya hidup.
Bagi mereka yang membesar dengan games, permainan berkonsepkan main peran (role play) pasti tidak asing lagi.
Malah sehingga kini, permainan konsep berkenaan masih menjadi fenomena dan pilihan buat segenap lapisan usia.
Fenomena itu turut menyaksikan kemunculan server (pelayan) permainan dalam talian berasaskan Grand Theft Auto V (GTA V) iaitu Adik Beradik Role Play (ABRP) yang dikelolakan oleh syarikat tempatan, Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL).
Sejak dilancarkan pada 2023, ABRP bukan sahaja memikat ribuan pemain di Malaysia, malah menarik minat komuniti antarabangsa. Ini menjadikan ABRP salah satu pelayan paling berpengaruh di platform FiveM.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ABKL, Muzammil Mudzakir, elemen yang menjadikan ABRP unik adalah penekanan kepada budaya dan identiti tempatan.
“Pemain yang menyertai pelayan ini diberi peluang untuk mengambil pelbagai peranan seperti anggota polis, doktor, usahawan sehinggalah pelumba jalanan.
“Lebih menarik, sebahagian pemain yang memilih profesion tersebut dalam dunia maya juga berkhidmat dalam bidang sama di dunia sebenar,” katanya ketika ditemu bual K-Tekno di Pejabat ABKL, Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Muzammil yang lebih dikenali sebagai MelRomeo berkata, ABRP memberi pengalaman yang realistik, autentik dan segar, sekali gus membezakan pelayan itu daripada pelayan lain.
Katanya lagi, ABRP dibangunkan untuk mencipta komuniti dan bukan sekadar hiburan semata-mata.
Ujar Muzammil, pihaknya mahu mencipta dunia maya yang mencerminkan budaya Malaysia dengan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.

Keputusan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di pelayan itu turut menjadi simbol keberanian. Walaupun ada pihak mencadangkan penggunaan bahasa Inggeris untuk menarik lebih ramai pemain global, namun ABKL percaya bahasa tidak seharusnya menjadi penghalang.
“Pada saya, penggunaan bahasa Melayu bukanlah satu masalah kerana kita seharusnya berbangga dengan bahasa ibunda. Melalui platform ini, bahasa kita dapat diketahui orang luar,” ujarnya.
“Bagi pemain luar negara, mereka boleh menggunakan aplikasi terjemahan masa nyata untuk berinteraksi dalam permainan,” ujar Muzammil yang memiliki pengalaman dalam segmen permainan video di Facebook.
Sejak awal pengenalan, ABRP mendapat sambutan luar biasa. Pelayan itu pernah mencatat pencapaian ranking pertama di dunia dalam FiveM.net dengan jumlah pemain aktif paling ramai pada satu-satu masa.
Pencapaian itu sangat membanggakan kerana ia membuktikan bahawa pelayan tempatan mampu bersaing dengan platform antarabangsa.
Kini, ABKL mengendalikan tiga pelayan utama iaitu AdikBeradik East, AdikBeradik West dan AdikBeradik Mobile yang masing-masing disokong oleh komuniti besar di Discord.
Memiliki statistik cukup mengagumkan dengan lebih 63,000 ahli di East, 19,400 ahli di West dan 18,000 ahli di Mobile.
Angka itu menunjukkan keterikatan komuniti terhadap ABRP yang bukan sahaja menawarkan permainan, malah ruang interaksi sosial yang ‘hidup’.
Dalam industri permainan digital yang penuh persaingan, ABKL memilih untuk tidak melihat pelayan lain sebagai pesaing.
Ketua Unit Teknologi Maklumat dan rakan usaha sama ABRP, Mohd. Hilmi Azli memberitahu, pihaknya memberi fokus untuk memperkenalkan ciri baharu bagi memastikan komuniti terus terhibur.
“Kami tidak terbeban dengan kehadiran pelayan dari luar negara. Fokus kami adalah untuk menggembirakan komuniti dengan inovasi dan pengalaman lebih baik.
“Strategi ini terbukti berkesan apabila ABRP terus bertahan dan berkembang, meskipun muncul pelayan baharu dari luar negara,” kongsinya yang turut dikenali nama Kieroy dalam pelayar ABRP.

Ujarnya lagi, satu lagi kekuatan utama ABRP adalah keberanian memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan.
Jelasnya, hampir 70 peratus kerja pembangunan dipercepat dengan bantuan AI, termasuk dari aspek grafik, rekaan dan penyelesaian teknikal.
Jika sebelum ini, ia memakan masa sehingga dua bulan untuk melengkapkan sesuatu ciri baharu, kini kerja itu mampu disiapkan dalam tempoh kurang sebulan.
“Meskipun kami menggunakan khidmat AI, teknologi itu hanyalah alat untuk mempermudahkan urusan kami dalam memastikan perkembangan dan kelancaran pelayaran permainan.
“Seni dan kreativiti masih datang daripada manusia. Tidak semua hasil AI boleh digunakan kerana nilai sebenar tetap lahir daripada idea dan sentuhan manusia,” katanya.
Keunggulan ABRP juga diperkuatkan dengan sokongan komuniti streamer terkenal yang menjadi wajah hadapan pelayan itu.
Antara yang konsisten menyokong dan menyiarkan kandungan ABRP di platform penstriman termasuk Dy Pablo, Adam Hilman, ChipNiBoss, Jaa Suzuran dan Harris Alif.
Kehadiran mereka bukan sahaja meningkatkan pendedahan ABRP kepada khalayak lebih luas, malah menjadikan pelayan itu sebagai sebahagian daripada budaya hiburan digital generasi muda.
Kejayaan ABRP membuktikan bahawa bahasa dan budaya tempatan boleh menjadi aset, bukannya halangan.
Dengan mengekalkan bahasa Melayu, ABRP bukan sahaja memberi pengalaman yang mesra kepada pemain tempatan, malah memperkenalkan keunikan budaya Malaysia kepada dunia.
Dalam konteks itu, ABRP lebih daripada sekadar pelayan permainan, sebaliknya ia adalah ruang maya yang merapatkan komuniti merentasi sempadan geografi dan bahasa.
Walaupun kini dikenali sebagai jenama besar dalam dunia permainan digital, namun ABKL sama sekali tidak melupakan akar umbinya.
Syarikat itu bermula sebagai jenama fesyen streetwear pada 2022 dengan misi untuk menyatukan komuniti melalui gaya.
Dari landasan fesyen, mereka mula memahami selera anak muda dan semangat kolektif, sebelum meluaskan pengaruh ke dunia maya.
Hari ini, ABKL berjaya menggabungkan dua dunia iaitu fizikal dan digital apabila jenama AB Clothing kekal relevan, di samping kejayaan ABRP.
Perjalanan syarikat itu dari lorong fesyen ke pentas permainan global adalah bukti bahawa inovasi, keberanian dan identiti budaya mampu mencipta fenomena baharu.
Kini, ABRP menjadi simbol keupayaan tempatan untuk berdiri sama tinggi dengan pelayan global, biarpun terus setia pada akar budaya dan bahasa sendiri.














