PETALING JAYA – Malaysia melakar satu lagi pencapaian strategik dalam transformasi industri penternakan ayam di negara ini melalui pelancaran portal status pelaksanaan penggunaan telur bebas sangkar untuk syarikat korporat yang bertujuan untuk menghasilkan telur yang lebih mampan seiring dengan trend semasa ke arah sektor yang lebih hijau.
Inisiatif itu turut diperkukuh dengan pengenalan Garis Panduan Pemeliharaan Anak Ayam dan Ayam Penelur Bebas Sangkar Malaysia serta Panduan Pelaksanaan Peralihan Penggunaan Telur Bebas Sangkar, sekali gus menandakan keseriusan negara dalam menyediakan rangka kerja peralihan yang komprehensif.
Perunding Kanan Dasar dan Penglibatan (Kebajikan Haiwan Ternakan), Humane World for Animals, Dr. Saravanakumar S. Pillai berkata, inisiatif bersepadu ini dilihat sebagai satu catatan bersejarah di negara ini kerana ia dapat menyatukan prinsip ketelusan dengan panduan praktikal.
“Pelancaran berganda ini membuktikan bahawa pengeluaran telur bebas sangkar di Malaysia bukan lagi sekadar aspirasi moral, tetapi suatu agenda yang boleh dilaksanakan, diukur dan bersifat inklusif kepada semua pihak dalam rantaian nilai.
“Pelancaran portal dan dokumen panduan ini juga menegaskan komitmen Malaysia untuk memacu industri ternakan ke arah model yang lebih lestari, berdaya saing dan selari dengan prinsip kemanusiaan sejagat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Malaysia Cage-Free Corporate Implementation Progress Forum and Industry Leadership Awards 2025 di sini baru-baru ini.
Selain itu, aktivis sosial dan hak pengguna, Tan Sri Lee Lam Thye menerangkan, pelancaran tersebut dilihat sebagai satu lonjakan penting yang menggabungkan aspek ketelusan, akauntabiliti dan kesiapsiagaan teknikal industri.
“Platform perintis ini menyediakan pemantauan masa nyata terhadap komitmen korporat menggunakan telur bebas sangkar, termasuk status pensijilan serta tahap peralihan. Ia bukan sahaja memudahkan akses pengguna dan pembuat dasar, tetapi juga mendorong pihak industri agar lebih bertanggungjawab,” ujarnya.
Lam Thye turut menegaskan, portal tersebut telah dibangunkan oleh Pertubuhan Pengeluar Telur Bebas Sangkar Malaysia (PPTBSM) yang mana ia berfungsi lebih daripada sekadar sistem pelaporan.
Tambah beliau, portal ini juga adalah instrumen ketelusan korporat yang mendedahkan kedudukan sebenar, menghargai kemajuan dan mendesak mereka yang ketinggalan agar mempercepatkan usaha peralihan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Norazman Ayob menerangkan, garis panduan yang diperkenalkan penting untuk menyediakan pelan hala tuju berstruktur, agar pengeluar mampu beralih daripada sistem sangkar tanpa menjejaskan produktiviti serta standard kebajikan haiwan.
“Ia merangkumi aspek pengurusan ayam dara, penanda aras kebajikan ayam penelur, reka bentuk ladang, biosekuriti dan persiapan pensijilan.
“Panduan ini bersifat praktikal dan boleh diikuti oleh petani pelbagai skala bagi memastikan kejayaan peralihan,” katanya.
Beliau memberitahu, usaha Malaysia ini juga berorientasikan pasaran eksport antarabangsa yang semakin menuntut standard kebajikan lebih tinggi, sekali gus memastikan daya saing pengeluar tempatan dalam ekosistem global. -KOSMO! ONLINE