JAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan di Jatinegara, Jakarta Timur menjadi perhatian ramai apabila menjadikan kelab bola sepak England, Liverpool F.C sebagai tema acara resepsi, lapor portal berita Wolipop semalam.
Menurut bapa pengantin perempuan yang dikenali sebagai Suryo, sebagai penyokong kuat kelab tersebut, dia mahu mengadakan konsep majlis perkahwinan yang luar biasa untuk anak perempuannya, Auliya Pramesthya.
Dengan diberi nama ‘Kick-Off Wedding’, acara itu berlangsung di stadium bola sepak mini yang dihiasi warna tema Liverpool, merah dan putih.
Turut dipaparkan adalah hiasan belon bertulis ‘You’ll Never Walk Alone’, yang menjadi slogan kebanggaan Liverpool.
Sebuah reruai gambar khas turut disediakan di hadapan gawang gol, lengkap dengan gambar bintang Liverpool, Mohamed Salah.
Bukan itu sahaja, tetamu undangan turut memakai jersi Liverpool dan dengan santai menikmati hidangan dan berbual bersama pasangan pengantin.
“Wanita kebiasaannya menghabiskan masa dua jam untuk bersiap menghadiri acara kenduri atau perlu memakai kasut tumit tinggi. Ia sangat tidak menyenangkan.
“Bagi saya, majlis perkahwinan perlu ceria. Kebetulan, saya peminat setia Liverpool,” tambah Suryo.
Sementara itu, Auliya berkata, dia pada awalnya menolak cadangan bapanya untuk menggunakan tema tersebut pada majlis perkahwinannya.
“Namun, ketika majlis, kami berasa gembira dan ceria,” katanya. – AGENSI