fbpx
INAP desa menjadi pilihan terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai. - JANAAN AI

Mahu inap desa laku, pastikan ada lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Homestay ataupun inap desa sudah menjadi satu daripada elemen yang tidak dapat dipisahkan daripada segelintir pelancong baik dari dalam mahupun luar negara.

Ramai menggunakan perkhidmatan homestay sebagai kaedah penginapan ketika melancong kerana ia mempunyai kelebihannya tersendiri berbanding kemudahan seperti hotel.

Ada yang gemarkan lokasi homestay terutamanya di kawasan luar bandar kerana kedudukannya berhampiran dengan budaya setempat.

Bagaimanapun, pelbagai isu sering timbul termasuk aspek kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bomba.

Bagi mereka yang tidak kisah, ia bukanlah satu isu, namun bagi pelancong yang mementingkan aspek tersebut, ia menjadi dealbreaker sekiranya homestay berkenaan mengabaikan aspek berkenaan.

Pengarah Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Mohamad Sharil Salihan berkata, PBT mementingkan aspek tersebut, justeru sesi libat urus dilaksanakan dengan pemain-pemain industri di daerah berkenaan.

Beliau berkata, permohonan lesen premis penginapan daripada PBT sangat penting bagi mana-mana individu atau syarikat yang ingin menjalankan perniagaan dalam industri penginapan atau perhotelan.

Katanya, ia bukan sekadar prosedur birokrasi tetapi satu keperluan undang-undang dan langkah memastikan perniagaan dapat berjalan dengan selamat.

“Lesen premis menunjukkan perniagaan anda beroperasi secara sah dan diiktiraf oleh pihak berkuasa. Ia menambah kepercayaan pelanggan, pembekal dan pelabur terhadap perniagaan.

“PBT akan membuat pemeriksaan sebelum lesen diluluskan untuk, antaranya memastikan premis mematuhi piawaian keselamatan bangunan dan kebakaran, memiliki sistem pengudaraan, kebersihan dan sanitasi yang baik serta tidak membahayakan kesihatan awam atau alam sekitar,” katanya.

Di Perak, Mohamad Sharil berkata, pelaksanaan Peraturan Hotel Perak 2024 di bawah Enakmen Hotel Perak 2023 merangkumi Bahagian II perkara 3(1).

Katanya, ia menjelaskan pengusaha industri penginapan perlu memohon lesen premis penginapan seperti tertakluk dalam Perkara 2 berkenaan tafsiran dalam Peraturan Hotel Perak 2024.

Selain itu, Jadual Pertama bilangan ke-3 (e) Kategori 5 merangkumi motel, rumah tumpangan, rumah pemalaman, rumah tetamu dan homestay dengan kadar RM200 untuk sebuah premis yang mempunyai tiga bilik dan tambahan RM20 untuk bilik seterusnya.

“Berdasarkan semakan dan pemetaan yang telah dibuat, dianggarkan terdapat 258 buah inap desa di seluruh kawasan MPM. Bagaimanapun, hanya 103 inap desa disahkan beroperasi secara aktif.

“Daripada jumlah tersebut, 36 inap desa telah diluluskan lesen premis rumah tetamu mengikut peruntukan undang-undang terkini,” katanya yang memaklumkan ia merupakan satu peningkatan berbanding lima inap desa yang direkodkan berlesen tahun lalu.

Peningkatan jumlah inap desa yang mendapatkan lesen itu menunjukkan ia mampu dilaksanakan, namun usaha berterusan daripada sesebuah PBT dan kerajaan negeri untuk memberi kesedaran adalah perlu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN