RAWANG – KOVE Moto, jenama motosikal yang semakin mencipta nama di peringkat global melancarkan jenama dan model terbaharunya di Malaysia.
Dua model baharu diperkenalkan ialah KOVE 800X GT untuk segmen kembara dan KOVE 450R untuk segmen jalanan ‘streetfighter’, di samping model 450 Rally yang telah diperkenalkan sebelum ini.
MDua Motor Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat kepada AFY Mobility Industries (AMI), telah dilantik sebagai pengedar tunggal dan eksklusif KOVE di Malaysia.
Pengurus Jenama Kanan, Mdua Motors Sdn. Bhd, Michael Yeoh berkata, kini KOVE secara rasmi berada di Malaysia.
Menurutnya, ia bukan sekadar pelancaran jenama, tetapi permulaan kepada sesuatu yang baharu untuk pasaran motosikal di Malaysia.
“Hari ini kami melancarkan dua model baharu yang menarik daripada KOVE iaitu 800X GT dan 450R.
“Untuk pengetahuan semua, Malaysia menjadi negara pertama yang melancarkan model 450R untuk pasaran global di luar China,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran.
Tambahnya, untuk tahun hadapan lebih banyak model KOVE akan diperkenalkan di pasaran Malaysia.
Model KOVE 800X GT merupakan motosikal kembara dan jelajah berprestasi tinggi ini dikuasakan oleh enjin 799cc parallel-twin yang menghasilkan 97Hp dan 80Nm tork.
Ia turut dilengkapi dengan sistem tunggangan pelbagai mod, kawalan pendikit elektronik, suspensi KYB.
Manakala KOVE 450R pula merupakan model sebuah motosikal ‘naked streetfighter’ yang direka untuk pecinta tunggangan ekstrim berkelajuan tinggi.
Harga jualan untuk KOVE 800X GT ditawarkan pada harga RM48,888, manakala KOVE 450R ditawarkan pada harga RM33,888 tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans. – KOSMO! ONLINE