PETALING JAYA – Dasar kerajaan adalah jelas dan tegas, iaitu tidak membenarkan minuman keras dihidangkan sama sekali dalam mana-mana acara rasmi kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak dalam institusi kerajaan termasuk yang berjawatan Menteri perlu lebih peka dan sensitif terhadap peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
“Tindakan Menteri dan Kementerian ini amat dikesali dan mereka telah diberi amaran keras agar tidak mengulangi perkara sama. Seluruh jentera kerajaan juga telah diingatkan supaya tidak cuai dalam hal sebegini serta memastikan kesilapan yang sama tidak berulang,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Anwar berkata demikian ketika mengulas tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) yang dikatakan menghidangkan minuman keras dalam satu acara rasmi baru-baru ini.
Menurutnya, Motac memberi penjelasan bahawa hidangan tersebut dilakukan selepas acara rasmi tamat, namun perkara itu tetap dianggap tidak wajar.
“Walaupun penjelasan diberikan bahawa program telah berakhir, tetapi bagi kerajaan, ia tetap tidak wajar sama sekali. Saya telah memberikan peringatan keras kepada Menteri dan Kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan ini,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memohon maaf berhubung isu berkenaan, Anwar berkata beliau akan merujuk perkara itu kepada menteri berkenaan.
Terdahulu, King Sing dilaporkan berkata, Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah, yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.
Jelasnya, acara makan malam yang dijadikan isu oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebenarnya inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
Kata beliau, memandangkan Tourism Malaysia buat julung kalinya menganjurkan acara global sedemikian, pihak industri dan sektor swasta teruja sehingga berhasrat untuk menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam itu. – KOSMO! ONLINE