SEOUL – Seorang pempengaruh platform TikTok(Tik Toker) Korea Selatan ditemui mati di lereng gunung selepas bersiaran langsung kali terakhir, lapor sebuah laman berita hari ini.
Yoon Ji-ah dipenuhi kesan lebam dan tanda dicekik apabila mangsa ditemui di sebuah gunung di daerah Muju dalam wilayah Jeolla Utara pada 11 September lalu, demikian menurut akhbar tempatan The JoongAng, The Chosun Daily dan Chosun Biz.
Pihak berkuasa percaya TikToker itu diserang 30 minit selepas siaran langsungnya berakhir. Dia membuat penggambaran di Pulau Yeongjong, Incheon, yang terletak lebih tiga jam pemanduan dari tempat mayatnya ditemui, lapor The JoongAng.
Suspek dalam kes pembunuhannya dikenal pasti sebagai seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an dengan nama keluarga Choi.
Choi didakwa menjalani kehidupan ‘bertopeng’ apabila memperkenalkan dirinya kepada Ji-ah sebagai CEO sebuah syarikat teknologi maklumat(IT) demikian menurut The Chosun Daily.
Dikenali sebagai ‘VIP berbelanja besar’ di platform video di mana dia menggunakan nama samaran ‘Black Cat, Choi meyakinkan Ji-ah untuk menjadi rakan kongsi perniagaan.
Menurut The JoongAng, Choi ‘menduduki tempat ke-46 daripada 50 pempegaruh popular di TikTok.
“Untuk mencapai tahap itu, anda memerlukan sekurang-kurangnya 100 juta won (RM300,000),” kata seorang pakar industri media sosial.
Bagaimanapun, Choi didakwa banyak berhutang dan rumahnya disita melalui lelongan paksa.
Mangsa yang berumur dalam lingkungan 20-an pula telah mengumpulkan lebih 300,000 pengikut di TikTok. Dia dipercayai ingin memutuskan hubungan dengan Choi kerana arahan berbentuk paksaan dan jadual kerja yang tidak munasabah, demikian menurut beberapa laporan.
Choi yang dilihat dalam rakaman kamera keselamatan sebelum kematian Ji-ah, didakwa merayu sambil berlutut agar mangsa tidak menamatkan perkongsian mereka.
Menurut Chosun Biz, keluarga mangsa mendakwa bahawa kamera sama merakam Ji-ah dihalang keluar daripada sebuah kereta sekitar pukul 3.27 petang (waktu tempatan) pada 11 September lalu. Pintu kenderaan kemudian dihempas.
Mayat Ji-ah kemudian ditemui terbiar di kawasan rumput sebuah gunung di daerah Muju. Bedah siasat mengenal pasti punca kematiannya adalah kerana kekurangan oksigen akibat tekanan pada leher, lapor The Chosun Daily.
Menurut laporan itu, Choi dilihat pada waktu kehilangan mangsa dengan membawa sebuah beg pakaian menuju ke gunung itu. Dia didakwa berhenti lapan kali sebelum tiba di tempat kejadian dengan harapan dapat mengelirukan siasatan polis.
Choi pada mulanya menafikan tuduhan membunuh mangsa apabila ditangkap pada 13 September lepas tetapi mengaku melakukan jenayah itu selepas mengetahui polis menemukan ,mayat Ji-ah, demikian menurut The Chosun Daily dan Chosun Biz. – AGENSI