PETALING JAYA – Himpunan Solidariti Flotilla Flotilla Sumud Nusantara bersama Palestin akan berlangsung esok di Axiata Arena, Bukit Jalil pada pukul 6 petang.
Menerusi satu poster yang dimuat naik di media sosial, majlis tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis itu juga akan menampilkan perkongsian istimewa daripada sukarelawan Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla sekali gus bakal membawa mesej keberanian dari Nusantara ke bumi Palestin.
Terdahulu, menerusi panggilan video antara Anwar dan beberapa sukarelawan Malaysia yang sedang berada di Turkiye, Perdana Menteri memaklumkan satu himpunan akan diadakan bagi menghargai usaha para aktivis yang menyertai misi kemanusiaan itu.
Para sukarelawan dilaporkan telah pun menaiki penerbangan menuju pulang ke tanah air dari Turkiye dan dijangka tiba sekitar pukul 9.50 malam ini (waktu Malaysia).
Antara aktivis yang menyertai misi kemanusiaan itu termasuklah Zizi Kirana, Ardell Aryana, Ustaz Mad Kecik, ZRA Strim, dan ramai lagi.
Sebelum ini kapal yang dinaiki seramai 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai GSF dipintas oleh tentera Israel sebelum dibawa ke penjara Penjara Ktzi’ot di Israel.
Pelbagai cabaran dan kesukaran dihadapi oleh para aktivis termasuklah tidak diberikan akses kepada ubat-ubatan serta dinafikan hak untuk mendapatkan air yang bersih. – KOSMO! ONLINE