fbpx
Kapal Conscience turut dinaiki sembilan rakyat Malaysia dalam misi FFC ke Gaza.

Freedom Flotilla: Jangan agresif jika berdepan tentera Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Aktivis dan sukarelawan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) turut mempersiapkan minda supaya sentiasa bertenang sekiranya dipintas oleh tentera Zionis Israel.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, ia penting supaya setiap daripada mereka tidak agresif atau melawan sewaktu berdepan dengan tentera penjajah.

“Peserta ini diminta sangat-sangat supaya tenang sentiasa. Jangan agresif kerana itu menjadi satu bahan untuk Israel mengasari mereka pula. Sebab itu kita juga elak 6 atau 7 Oktober (tiba di Gaza).

“Jangan jadikan apa-apa sebagai alasan untuk Israel agresif. Jadi persediaan minda sangat-sangat kritikal,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCare di sini hari ini.

Beliau berkata, sewaktu pemilihan peserta untuk misi FFC x TMTG, penganjur melakukan saringan yang ketat termasuk berkaitan persediaan dari segi minda.

“Menerusi latihan simulasi, macam mana peserta akan memberi reaksi sekiranya jika kekerasan daripada tentera Israel.

“Kalau orang ini agresif sikit, dia tidak akan dipilih untuk bersama (misi). Takut nanti akan menyusahkan atau memberi kesan kepada peserta lain,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan, pelayaran misi kemanusiaan FFC x TMTG mengelak untuk tiba di Gaza, Palestin pada 7 Oktober memandangkan Israel berpotensi untuk melakukan serangan ke atas sukarelawan tersebut.

Kamarul Zaman dipetik berkata, ia memandangkan tarikh itu genap dua tahun Operasi Taufan al-Aqsa dilancarkan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023.

Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar di atas kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.

Kapal terbesar Conscience melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCare, manakala seramai 93 peserta dari 22 negara berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.

Secara keseluruhan misi ini melibatkan 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan delegasi Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI