KOTA KINABALU – Ahli Kimia, Nor Aidora Saedon dari Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya memaklumkan Mahkamah Koroner terdapat kesan darah pada lembaran kertas mengandungi tulisan tangan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Nor Aidora berkata kesan darah yang ditemui pada kertas bertanda ‘Y8’, meliputi kawasan Y8(ii) hingga Y8(vii), dan pada kertas bertanda ‘Y1’, meliputi kawasan Y1(i) dan Y1(ii) itu didapati sepadan dengan profil Deoxyribonucleic Acid (DNA) remaja berusia 13 tahun terbabit.
“Sampel itu dianalisis untuk perbandingan DNA.
“Darah berkenaan konsisten antara satu sama lain serta padan dengan profil DNA yang diperoleh daripada spesimen tulang bertanda ‘WK37’ dan berlabel ‘Zara Qairina Binti Mahathir.’
“Dapatan ini sekali gus menunjukkan DNA yang dikenal pasti datang daripada individu yang sama,” katanya.
Menurut Nor Aidora lagi bahawa kesan darah yang ditemui pada kertas berlabel ‘WK15(9)(a)’ dan kesan DNA yang dikumpul daripada buku berlabel ‘WK13’ turut sepadan.
Nor Aidora memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan sebagai saksi ke-17 dalam inkues kematian Zara.
Beliau juga menjelaskan bahawa kertas ‘Y1’ dan ‘Y8’ adalah padanan yang saling melengkapi antara satu sama lain.
Dalam prosiding 8 September lalu, pemeriksa dokumen Nurul Atiqah Mohd Noh memberi keterangan bahawa tulisan tangan pada beberapa dokumen bertanda ‘Y1’ hingga ‘Y15’ dan ‘W1’ dan ‘W2’, yang dianalisisnya, adalah konsisten dengan spesimen tulisan tangan Zara.- KOSMO! ONLINE