NEW DELHI – Satu rakaman video yang memaparkan banduan mengadakan sambutan hari lahir di dalam penjara mencetuskan siasatan polis di Bengaluru, lapor portal berita Deccan Herald hari ini.
Video itu memaparkan Srinivasa atau lebih dikenali sebagai Gubbachhi Seena, seorang samseng yang sedang ditahan reman berhubung kes bunuh, tular di media sosial.
Dalam rakaman itu, Seena dilihat memakai kalungan dibuat daripada buah epal dan memotong kek menggunakan sebilah pisau.
Beberapa orang lain, dipercayai banduan, kelihatan bersama dengannya.
Sumber polis berkata, mereka sedang menyiasat bila kejadian itu berlaku.
Pihak berkuasa juga menyiasat bagaimana seorang banduan boleh merakam video dan menyebarkannya, sedangkan penggunaan telefon bimbit adalah dilarang sama sekali dalam peraturan penjara.
Menurut laporan media, insiden itu dipercayai berlaku empat hingga lima bulan lalu.
Seena dituduh dalam kes pembunuhan seorang lelaki yang didakwa musuhnya pada Januari tahun ini.
Dia ditangkap pada Februari lalu. – AGENSI