fbpx
Shaharudin (tengah) bersama delegasi ASEAN semasa Mesyuarat SOCA ke-39. Foto MOTAC

Malaysia pengerusi Mesyuarat SOCA ke-39, kukuhkan kerjasama sosio-budaya ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Malaysia terus memperkukuh peranannya di pentas serantau apabila menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pegawai-Pegawai Kanan bagi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (SOCA) ke-39, yang berlangsung hari ini di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Selangor.

Mesyuarat anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, selaku Pengerusi SOCA Ke-39. Ia diadakan bagi membincangkan hala tuju strategik Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) di bawah kepengerusian Malaysia tahun ini.

Sebagai badan sokongan utama kepada Majlis ASCC, mesyuarat SOCA berfungsi menyediakan syor dasar dan menyelaras pelaksanaan program antara sektor bagi memastikan kesepaduan usaha dalam memperkukuh komuniti ASEAN yang lebih inklusif dan mampan.

Shaharuddin berkata, penganjuran mesyuarat kali ini membuktikan komitmen Malaysia dalam mempromosikan nilai Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, belas ihsan dan kesejahteraan bersama dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Melalui SOCA, kita memastikan dasar dan inisiatif di bawah tonggak sosio-budaya ASEAN dilaksana secara menyeluruh, seimbang dan memberi manfaat terus kepada rakyat rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut memberi tumpuan terhadap isu cabaran rentas sektor, termasuk penyelarasan antara badan-badan sektor ASCC bagi menjamin pelaksanaan yang lebih berkesan dalam mencapai matlamat komuniti ASEAN.

SOCA yang diadakan dua kali setahun memainkan peranan penting dalam memastikan keselarasan dasar dan kesinambungan projek antara negara anggota menjelang Mesyuarat Majlis ASCC yang akan datang.

Mesyuarat kali ini turut menjadi medan penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam memupuk keamanan, ketahanan dan budaya saling menghormati antara negara anggota ASEAN.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN