PETALING JAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkesempatan bertanya khabar kesemua 23 aktivis Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul kira-kira pukul 8.40 malam tadi, waktu Malaysia.
Menerusi satu panggilan video bersama salah seorang peserta, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, beliau turut menzahirkan kesyukuran di atas kepulangan mereka itu.
“Saya dah minta kedutaan kita di Istanbul, tidur dululah di situ. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dah beri kebenaran.
“Buat pemeriksaan kesihatan dahulu, baru balik. Yang penting dah selamat semua, Alhamdulilah. Sampaikan salam saya kepada semua,” katanya.
Dalam pada itu, PU Rahmat memaklumkan, di sana mereka menerima sambutan yang sangat baik malah sempat berseloroh bahawa beliau rindukan menu masak lemak cili api.
“Alhamdulillah, sambutan luar biasa. Sekarang ni lapar masak lemak cili api, Datuk Seri,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan kesemua 23 aktivis Malaysia telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul kira-kira pukul 8.40 malam tadi waktu Malaysia.
Ketua Pengarahnya, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, mereka diterbangkan dari Ramon Airport, Israel pada pukul 6.40 petang waktu Malaysia.
Beliau berkata, ketibaan aktivis itu disambut oleh oleh pihak kedutaan Malaysia di Turkiye dan Wisma Putra
serta Kerajaan Turkiye. – KOSMO! ONLINE