KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memuji usaha Kerajaan Persekutuan yang berjaya memastikan semua aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Tentera Pertahanan Israel (IDF) baru-baru ini dibebaskan dengan selamat.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan keprihatinan serta peranan aktif kerajaan dalam melindungi keselamatan warga negara di luar negara.
“Langkah tersebut selaras dengan tanggungjawab universal setiap negara berdaulat terhadap warganegara masing-masing.
“Kita ucap terima kasih kepada kerajaan yang telah menjalankan tanggungjawab ini dengan baik dan doakan semua mereka yang terlibat selamat pulang ke tanah air,” katanya selepas melancarkan Pusat Cari Kerja Terengganu di sini hari ini.
Beliau mengulas pembebasan aktivis misi GSF termasuk 23 rakyat Malaysia yang ditahan IDF minggu lalu selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri Terengganu turut berhubung dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta keluarga aktivis terbabit yang berasal dari Terengganu.
“Kita akan tunggu kepulangan mereka untuk mendengar sendiri pengalaman dilalui,” katanya. – KOSMO! ONLINE