PETALING JAYA – Buat julung kalinya peminat sukan permotoran utara tanah air digegarkan dengan penganjuran karnival terbesar Northern Festival Of Speed (NFOS) di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena, Pulau Pinang hari ini.
Program yang bermula sejak Jumaat lalu adalah anjuran Northern Speedo & Choii Motorsports dengan kerjasama penuh PMH (Perniagaan Mazlan & Hashimah) sebagai penaja utama.
Ketua Pegawai Eksekutif PMH, Izwan Mazlan berkata, mereka amat berbesar hati menjadi penaja utama NFOS dan menyifatkan ia tanda sokongan serta penghargaan tinggi terhadap industri automotif di negara ini.
Menurut beliau, pihaknya sanggup berbelanja besar untuk menjadi penaja untuk menjayakan aktiviti automotif yang bermanfaat itu.
“Kami memang menyokong program anak muda serta merakyatkan program sebegini kepada semua golongan masyarakat yang meminati bidang automotif sekali gus akan memupuk minat kepada semua generasi.
“Selain itu, PMH juga turut membuka booth pameran dan jualan kereta-kereta import recond (terpakai) dari luar negara. PMH Motor juga membawakan kepada anda, motosikal elektrik (EV) keluaran pengilang bumiputera iaitu model LION G1 GGR EV.
“Pengunjung juga berpeluang memandu uji serta merasai sendiri pengalaman menunggang motosikal EV yang menarik ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mengulas lanjut, Izwan berkata, PMH sebelum ini banyak terbabit dengan karnival rakyat, automotif permotoran yang melibatkan masyarakat seperti Santai Anak Utara.
Bagaimanapun NFOS adalah yang terbesar kerana tajaan hadiah untuk acara cabutan bertuah sangat istimewa.
“Kami tawarkan tiga buah kereta sebagai hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah Mercedes A Class model W177, Nissan 350Z dan Honda Civic FD untuk dibawa pulang oleh pengunjung yang bertuah.
“Dengan hanya membayar tiket masuk sebanyak RM15, pengunjung berpeluang melihat pameran kereta yang unik serta pelbagai aktiviti dan permainan menarik seperti ‘limbo stance’ dan ‘2 step competition,” katanya.-KOSMO! ONLINE