BANGKOK – Satu pertengkaran dalam keluarga bertukar ganas apabila seorang bapa didakwa menyerang anak perempuannya yang berusia 15 tahun menggunakan sebilah gergaji, lapor portal berita MSNews hari ini.
Kejadian berlaku selepas mangsa enggan membantunya melakukan kerja rumah, menyebabkan remaja itu mengalami luka parah sehingga hampir putus tangan, Rabu lalu di wilayah Samut Prakan.
Pasukan penyelamat memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa sebelum membawanya ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.
Saksi berkata, si bapa pada mulanya meminta anaknya membantu melakukan kerja-kerja di rumah.
Namun, apabila mangsa tidak mempedulikannya dan terus berbaring, lelaki itu didakwa mengeluarkan sebilah pisau dan menyerangnya.
Dalam usaha mempertahankan diri, mangsa dilaporkan sempat mencapai sebilah gergaji, tetapi ia terlepas semasa pergelutan.
Si bapa kemudian mengambil gergaji tersebut dan menghayunkannya, hingga mengenai tangan mangsa.
Susulan kejadian itu, polis menahan suspek di sebuah kawasan semak-samun berhampiran rumahnya, manakala siasatan masih berjalan. – AGENSI