JAGUH lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly tidak mahu sekadar berpuas hati selepas memecahkan rekod dunia miliknya, sebaliknya menyasarkan untuk melonjak lebih jauh ke angka keramat lapan meter (m).
Atlet kelahiran Perlis itu mencipta sensasi di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 di New Delhi apabila meraih emas acara T20 (kecacatan intelektual) dengan catatan 7.67m, mengatasi rekod dunianya 7.64m dilakukan di Sukan Para Asia 2018 di Jakarta.
Lebih manis, Latif turut meleburkan rekod kejohanan seawal lompatan pertama dengan 7.61m sebelum memperbaharui pencapaian peribadi pada percubaan ketiga, sekali gus menobatkannya sebagai raja lompat jauh para dunia.
Jurulatihnya, Eryanto Bahtiar menyatakan kejayaan itu bukan penamat, sebaliknya menjadi pemangkin kepada misi lebih besar iaitu menembusi jarak 8m selama ini menjadi matlamat latihan atlet itu.
“Kami berlatih dengan matlamat 8m, tak kisah kejohanan mana. Dari segi sains sukan, ini dipanggil goal setting, supaya atlet jelas apa tujuan dia berlatih,” katanya.
Menurut Eryanto, Latif masih mempunyai ruang besar untuk diperbaiki meskipun sudah berada di tahap terbaik dunia.
“Saya melihat masih ada ruang yang boleh diperbaiki dan kami akan terus bekerja ke arah itu,” ujarnya.
Dia juga percaya konsistensi Latif datang daripada pengalaman luas serta sokongan padu pasukan teknikal yang sentiasa memastikan pelan latihan berada pada landasan tepat.
Mengulas persiapan jangka panjang, Eryanto yakin Latif mampu mengekalkan dominasi sehingga Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 meskipun faktor usia dan kecergasan mungkin menjadi cabaran.
Latif kini bergelar ikon sukan para negara dengan koleksi emas Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020 serta perak Paris 2024, manakala kejayaan di India membuktikan misi masih belum selesai selagi sasaran lompatan 8 meter belum direalisasikan. – KOSMO! ONLINE