REZEKI tidak memihak kepada jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly apabila dia terpaksa berpuas hati menamatkan saingan pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan pingat perak.
Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu bahawa juara dunia empat kali itu bergelut dengan masalah kecederaan pada aksi final lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) di Stade de France, Paris awal pagi semalam.
Latif menjelaskan, dia terpaksa menahan kesakitan di bahagian abdomen sepanjang aksi final tersebut dengan lompatan terbaiknya hadir pada percubaan kedua menerusi catatan 7.45 meter (m).
“Itulah orang kata adat pertandingan, memang apa sahaja boleh berlaku. Percubaan terakhir itu memang sangat mencabar dan mendebarkan. Kita hanya buat yang terbaik sahaja dan saya tidak terlalu kecewa.
“Ketika menjalani latihan Rabu lalu, saya rasa seperti ada ‘tertarik’ di bahagian bawah tulang rusuk kiri dan memang rasa sakit. Itu memang menjejaskan aksi kerana nak buat larian pun susah,” katanya.
Pingat emas acara tersebut menjadi milik atlet Russia, Matvei Iakushev yang bertanding atas tiket Atlet Paralimpik Neutral menerusi lompatan 7.51m manakala gangsa dimenangi Jhon Obando dari Colombia dengan 7.38m.
Keputusan itu turut menyaksikan hasrat Latif untuk mencatat hatrik tidak kesampaian memandangkan dia merupakan pemenang pingat emas dalam dua edisi sebelum ini pada Paralimpik Rio 2016 dan Paralimpik Tokyo 2020.
Bagaimanapun, atlet berusia 27 tahun itu sekurang-kurangnya dapat memperbaiki catatan terbaiknya musim ini menerusi lompatan 7.45m itu, memadam catatan 7.30m yang dilakukan ketika memenangi pingat emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun Mei lalu.
“Memang saya dan jurulatih sudah jangka dia (Iakushev) merupakan pencabar terdekat kerana atas kertas, dia memang No.1 untuk tahun ini. Bila dah terkena (sakit), memang keyakinan turun sedikit.
“Tidak ada rezeki di sini, mungkin Allah nak bagi saya bangkit lebih kuat pada Paralimpik Los Angeles (2028) nanti untuk lakukannya (rampas emas). Saya redha dengan apa yang berlaku,” ujar Latif.09