PERSEKUTUAN Karate Malaysia (MAKAF) menetapkan sasaran wajib menang tiga pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember nanti.
Justeru, Kejohanan WKF Karate 1-Series A Kuala Lumpur 2025 di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan berlangsung hingga hari ini menjadi medan utama menguji kekuatan pasukan negara.
Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, meskipun cabaran pada kejohanan antarabangsa itu cukup sengit, prestasi semasa skuad negara memberi keyakinan untuk mencapai sasaran emas di Bangkok hujung tahun ini.
“Untuk Sukan SEA, tiga pingat emas adalah realistik dan wajib dicapai. Selainnya kami akan persiapkan dari segi teknikal dan taktikal.
“Kenapa saya yakin adalah kerana kami
percaya konsistensi atlet dalam kejohanan Asia serta dunia sebelum ini yang akan menjadi sandaran utama,” katanya.
Malaysia menurunkan 40 atlet merangkumi barisan senior dan pembangunan, membabitkan acara kata individu, berpasukan serta kumite lelaki dan wanita dengan keseluruhan 17 kategori dipertandingkan.
Nur Azmi berkata, Malaysia kini memiliki seorang atlet dalam kelompok 10 terbaik dunia, beberapa lagi dalam ranking 50 dan 100 terbaik, sekali gus memberi peluang besar buat skuad negara memperbaiki kedudukan podium.
Beliau juga menegaskan, penganjuran kejohanan di Nilai bukan sahaja sebagai medan persiapan ke Sukan SEA dan Sukan Asia 2026, malah membuktikan kemampuan MAKAF menganjurkan kejohanan bertaraf dunia sambil menyahut seruan kerajaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. – KOSMO! ONLINE