PETALING JAYA – Akaun Instagram penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana dilihat kembali aktif hari ini selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel semalam.
Menerusi hantaran dalam Instastory, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, berkongsi swafoto dirinya berserta ucapan Alhamdulillah.
Pelantun lagu Eh itu juga dilihat menyiar semula hantaran yang dibuat netizen dalam Instastory.
Terdahulu, Zizi bersama 22 lagi aktivitis kemanusiaan yang menyertai Global Sumud Flotilla dibebaskan daripada tahanan Israel semalam.
Kesemua mereka dihantar pulang menaiki pesawat komersial dari Israel ke Istanbul, Turkiye bersama aktivitis daripada beberapa negara lain.
Kesemua 500 sukarelawan daripada 44 negara telah ditawan tentera Zionis Rabu lalu sewaktu kapal mereka memasuki zon merah menuju ke Gaza.
Sebelum menyerah diri kepada tentera Israel, kesemua mereka telah membuang telefon pintar masing-masing ke dalam laut sebagai langkah berjaga-jaga.
Antara aktivis daripada Malaysia yang terlibat ialah Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Ardell Aryana, Farah Lee dan PU Rahmat. – KOSMO! ONLINE