GEORGE TOWN – Seorang ‘rider’ tidak menyangka ‘sembang kosong’ mengenai tanggungan perbelanjaan isi rumahnya dengan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, dua minggu lalu akhirnya mendapat perhatian YB berkenaan.
Perkara itu dikongsikan Ahmad Ikram Ahmat Makbol, 31, yang juga operator kilang di Bayan Lepas di laman Facebook Steven Sim, merangkap Menteri Sumber Manusia itu, hari ini.
Menurut bapa kepada seorang cahaya mata itu, semuanya berlaku ketika dia membonceng Steven ketika menyertai konvoi Penang Rider bersama lebih 300 ‘rider’ sejauh tiga kilometer dari pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seberang Jaya.
“Atas motor tu, YB dok sembang dengan aku. Dia tanya awat (kenapa) buat dua kerja. Aku jawab, komitmen banyak. Nak bayaq (bayar) kereta, insurans, itu ini.
“Bila aku sebut insurans aku RM590, YB nampak terkejut. Aku beritahu, sebab aku bayaq sekali untuk bini. Lepas tu senyap. Tak sangka apa-apa pun. Bagi aku, sembang tu habis kat situ ja.
“Minggu lepas aku dapat mesej, katanya dari pejabat YB. Dia nak jumpa aku sekejap. Aku pun setuju la. Tapi dok fikir gak pasai apa depa nak jumpa?
“Sampai-sampai saja, depa bagi tau. Benda ni dah lama YB minta depa bagi tau aku tapi tak dan (tidak sempat). Rupanya YB nak tolong bayarkan insurans aku dan isteri selama setahun,” tulisnya.
Dalam pada itu, kata Ahmad Ikram lagi, Steven Sim turut bersetuju membantu membiayai insurans anak kecilnya yang baru lahir.
“Aku terdiam. Tak tau nak kata apa. Terkejut dan tak sangka rupanya YB ingat benda yang kami sembang masa atas motor. Memang terharu.
“Terima kasih banyak YB. Saya takkan lupa jasa baik YB,” ujarnya lagi.
Pada 21 September lalu, seramai lebih 1,500 penunggang motosikal di negeri ini berkumpul bagi mendengar penerangan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig bersama menteri berkenaan.
Program Penang Rider Jalan Teruih anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang serta Penang Youth Development Centre (PYDC) itu merupakan sebahagian siri jelajah penerangan berhubung RUU Pekerja Gig yang diluluskan di Parlimen, baru-baru ini. -KOSMO! ONLINE