PONTIAN – Seramai 159 penduduk daripada 46 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya di sini sehingga pukul 8 pagi hari ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, mangsa terdiri dari penduduk Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya, Kampung Pak Khalib, Kampung Seri Menanti dan Kampung Maju Jaya.
Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abdul Rahman selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor telah hadir menyantuni mangsa-mangsa banjir di PPS SK Melayu Raya.
Beliau turut diiringi oleh Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pontian.
Asman Shah turut menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas dan wang tunai kepada mangsa banjir di PPS tersebut.
Beliau juga berharap mangsa banjir diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini, serta berharap segala urusan pemulihan dan bantuan dapat berjalan dengan lancar.
Kejadian ban atau benteng pecah di Sungai Tanjung Air Hitam, Kulai baru-baru ini menyebabkan enam buah kampung di kawasan Pekan Nanas dilanda banjir ditambah dengan hujan lebat awal pagi semalam. -KOSMO! ONLINE