PETALING JAYA – Seramai 328 aktivis kemanusiaan yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan masih ditahan di penjara Israel selepas kapal mereka diserbu ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, daripada 462 aktivis diculik, hanya 134 telah dibebaskan oleh rejim Zionis itu.
Terdahulu, kesemua aktivis termasuk 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean, seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Bagaimanapun, semalam 23 aktivis negara tiba di Lapangan Terbang Istanbul, Turkiye selepas kerajaan Malaysia berjaya mendapatkan bantuan daripada rakan diplomasi termasuk Kerajaan Turkiye.
Di ruangan komen hantaran Muhammad Nadir Al-Nuri di Facebook itu, ramai bertanya baki aktivis yang masih ditahan berasal dari negara mana.
Rata-ratanya tekad untuk membantu dengan berhimpun di hadapan bangunan kedutaan negara terlibat agar bertindak segera menyelamatkan rakyat mereka.
“Kalau dapat tahy negara mana, ramai-ramai sama-sama demo depan embassy (kedutaan) negara tersebut untuk tekan mereka seperti mana kita buat untuk negara kita.
“Jangan berkira aktivis itu Islam atau tak, sebab mereka lah Allah nak umat Islam bersatu,” kata Yayang Nasir.
“Ketua negara kepada mangsa mangsa yang masih diculik boleh contohi PMX gunakan saluran diplomasi dan beri tekanan kepada Israel. Moga mangsa yang diculik dapat dibebaskan segera,” kata Adib Ishar. – KOSMO! ONLINE