fbpx
Dr Sani Araby ketika sidang media berkenaan situasi terkini Misi Global Sumud Flotila Sumud Nusantara di SNCC, Sepang di sini, hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

Sumud Flotilla: Aktivis ditahan dinafikan akses ubat, air – SNCC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Pusat Kawalan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan laporan mengenai aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang dinafikan akses untuk air, tandas, ubat-ubat dan hak untuk bertemu selepas ditahan tentera Israel.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya juga mengesahkan laporan mengenai keadaan aktivis yang dipaksa berlutut dengan tangan bergari ‘zip tie’ selama hampir lima jam.

“Tindakan itu dibuat selepas sebahagian daripada mereka melaungkan ‘Free Palestine’,” katanya pada sidang akhbar di SNCC di sini tadi.

Katanya, SNCC turut menerima laporan bahawa dalam tempoh 24 jam lalu terdapat beberapa sukarelawan Malaysia dinafikan hak untuk mendapat akses tertentu.

“Bagaimanpun, dengan kekuatan dan hubungan baik Wisma Putra serta kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhubung dengan pihak lain, ia membantu menyampaikan mesej kita.

“Kita doakan agar fasa yang sangat penting ini dalam tempoh 48 jam dapat diakhiri dengan berita ataupun perkembangan yang lebih baik iaitu mereka akan dibebaskan,” jelasnya.

Pada masa sama, Sany Araby berkata, pihaknya juga mengesahkan bahawa kumpulan aktivis yang ditahan tentera Israel kini ditempatkan di Penjara Ketziot di selatan Israel.

“SNCC juga telah berhubung dengan wakil Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) seterusnya mengesahkan kesemua delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat dan stabil.

“Pada peringkat awal, semua delegasi GSF telah dihalang untuk diberikan hak konsultasi, namun wakil Adalah memaklumkan telah bertemu dengan 20 sukarelawan.

“Namun, proses ini sedikit terganggu untuk ke fasa seterusnya dan mereka tidak dapat bertemu untuk kali kedua,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI