fbpx
Gambar hiasan.

SNCC sahkan barangan bantuan dibawa GSF masih dalam kapal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan barangan bantuan kemanusiaan yang dibawa bersama misi Global Sumud Flotilla (GSF) dipercayai masih berada di kapal yang dipintas rejim Israel.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, bantuan kemanusiaan yang dipercayai masih berada dalam kapal terbabit merangkumi beras, susu formula, air bersih dan ubat-ubatan.

“Selain itu, SNCC menerima makluman bahawa seramai 462 aktivis telah ditahan rejim Zionis yang mana mereka kini sedang melalui proses prosiding bersama pihak berkuasa imigresen Israel.

“SNCC juga menerima laporan daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) bahawa aktivis flotila pada awalnya telah dinafikan hak bertemu peguam.

“Namun, dalam tempoh 24 jam yang lalu, peguam daripada Adalah telah bertemu dengan 331 aktivis GSF di Pelabuhan Ashdod dan empat warga Itali telah dibebaskan,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi

Katanya, SNCC turut menerima laporan daripada pihak Adalah yang mengesahkan delegasi Malaysia kini ditempatkan di Penjara Ketziot Rejim Israel.

Menurut beliau, mereka dinasihatkan Adalah untuk menandatangani borang Request for Immediate Departure.

“Pihak SNCC dimaklumkan bahawa pihak Adalah telah berhubung dengan 20 daripada 23 orang aktivis Malaysia yang ditahan, manakala tiga lagi akan diuruskan dalam masa terdekat,” katanya.

Selain itu, SNCC bersama kerajaan Malaysia kini berada dalam status siap sedia untuk membawa pulang semua 23 orang aktivis Malaysia sebaik sahaja menerima isyarat daripada kerajaan Turkiye yang menjadi penghubung utama dalam rundingan diplomatik rejim Zionis.

“SNCC menggesa seluruh rakyat Malaysia meneruskan sokongan kepada delegasi misi flotila ini dan melakasakan solat hajat, doa Qunut Nazilah supaya koridor kemanusiaan di Gaza dibuka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI