LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta menarik nafas lega apabila kapten pasukan, Martin Odegaard kembali berada pada tahap terbaik menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu West Ham United di Stadium Emirates malam ini.
Menurut Arteta, pemain antarabangsa Norway itu sudah bebas daripada kecederaan dan berjaya mempamerkan prestasi ampuh ketika pasukan menang aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bertemu Olympiakos kelmarin.
Kata Arteta, Odegaard yang juga bekas pemain Real Madrid itu boleh kembali dilabel sebagai perancang terbaik di dunia jika mampu mengekalkan rentak konsisten musim ini.
“Saya lihat Odegaard kembali mencapai tahap sebenar kerana berjaya mencipta banyak peluang untuk jentera serangan kami selain hampir menjaringkan gol.
“Secara peribadi, saya percaya Odegaard masih dianggap salah seorang pemain hebat yang memiliki ciri-ciri kepimpinan yang tinggi. Saya akan terus beri kebebasan kepadanya kerana dia sangat kreatif,” katanya.
Sementara itu, pengendali dari Sepanyol tersebut turut memberi bayangan bakal melakukan rombakan dalam kesebelasan utama kerana mengharungi jadual yang padat dengan pemain tidak mendapat rehat mencukupi.
“Saya akan terus beri keutamaan kepada tahap kesihatan pemain seperti Bukayo Saka yang baru pulih daripada kecederaan. Declan Rice dan Gabriel juga beraksi hampir semua perlawanan musim ini,” katanya. – AGENSI