fbpx
Ahmad Zahid beramah mesra bersama para alumni FBMK UPM semasa Majlis Malam Kilauan Mutiara FBMK di Dewan Besar UPM, hari ini.

‘Masa jadi pembangkang tangkas, dah jadi menteri lambat tangani isu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegur segelintir menteri yang menurutnya kini gagal menguasai komunikasi media sosial walaupun sebelum ini lantang dan tangkas ketika berada di blok pembangkang.

Katanya, perubahan landskap komunikasi politik masa kini memerlukan kecekapan mengurus naratif di pelbagai platform, bukan sekadar bergantung kepada media konvensional.

“Ada menteri yang dulu waktu pembangkang sangat tangkas di media sosial, tapi bila dah masuk kementerian, dah tak pandai urus media. Lambat menangani isu,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Kilauan Mutiara FBMK sempena sambutan tiga dekad penubuhan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), di Dewan Besar UPM malam ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kegagalan menguasai media sosial boleh menyebabkan pemimpin atau parti tewas dalam pilihan raya walaupun memiliki pencapaian dasar yang baik.

Jelas beliau, komunikasi politik kini beralih kepada strategi kandungan dan jaringan pempengaruh yang mampu membentuk pandangan rakyat sebelum mereka ke peti undi.

“Kalau kita gagal kuasai media sosial, kita boleh kalah walaupun dasar kita baik,” tegasnya.

Dalam ucapannya, beliau turut berkongsi hasil penyelidikan peringkat PhD yang meneliti bagaimana akhbar arus perdana membingkai isu politik dan dasar kerajaan pada masa lalu.

Katanya, kini setiap organisasi media bergerak dengan strategi tersendiri, menggunakan pendekatan pantas dan berasaskan data untuk menarik perhatian khalayak.

“Lebih besar daripada itu, setiap kita sekarang adalah media. Media sosial menjadikan rakyat bukan sekadar penerima, tetapi penerbit dan pengaruh,” ujarnya.

Ahmad Zahid turut menyarankan agar FBMK memainkan peranan strategik sebagai ‘makmal naratif negara’ bagi melatih jurucakap, menguji bingkai komunikasi dasar, dan melahirkan graduan yang mampu memimpin wacana negara.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI