SEPANG – Jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bukan dibuat atas jemputan dua hala kerajaan Malaysia, sebaliknya merupakan jemputan rasmi di bawah kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Trump bukan dijemput oleh Malaysia dalam konteks hubungan dua hala biasa, tetapi pemimpin itu hadir sebagai ketua negara yang merupakan rakan dialog kepada ASEAN.
“Tahun ini, Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, maka menjadi tanggungjawab kita untuk menjemput semua ketua negara bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan ke-47.
“Malaysia hanyalah tuan rumah, sedangkan persidangan ini adalah ‘kenduri’ (program rasmi) ASEAN, bukannya ‘kenduri’ Malaysia semata-mata,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini, hari ini.
Katanya, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia menjemput semua ketua negara yang berkaitan dan tidak wajar untuk memilih atau mengecualikan mana-mana pihak kerana ia bukan satu amalan diplomatik baik.
Mohamad berkata, ASEAN harus dilihat sebagai satu kumpulan negara yang mengamalkan dasar berkecuali dan inilah kekuatan teras ASEAN iaitu ‘ASEAN Centrality’ iaitu berpaksikan kepada dasar berkecuali.
“Dasar berkecuali inilah yang menjadi kekuatan utama ASEAN, termasuk Malaysia sebagai negara anggota. ASEAN terbina atas dasar rantau yang bebas, aman dan berkecuali.
“Maka, semua ketua negara rakan dialog dijemput dan jika mereka memilih untuk hadir, tidak wajar pula kita menolak kehadiran mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE