PETALING JAYA – Peserta kapal Freedom Flotilla Coalition (FFC) and Thousand Madleens to Gaza (TMTG), Dr. Fauziah Mohd Hasan menzahirkan semangat kental dan menyeru agar semua sukarelawan bertenang berdepan dengan penahanan oleh rejim Zionis.
Dalam perkongsian video di aplikasi TikTok, Dr. Fauziah berkata pihaknya dimaklumkan sebahagian kapal misi telah ditahan dan peserta dibawa ke Ashdod atau masih dalam perjalanan ke sana.
“Ingatlah, segala latihan tanpa kekerasan (non-violence) dan informasi yang diberikan sebelum ini adalah untuk menenangkan kita.
“Proses penahanan ini hanyalah usaha untuk menakutkan, tetapi mereka tidak mampu mematahkan semangat kita,” katanya.
Menurutnya, meskipun sukarelawan mungkin berdepan risiko dicederakan secara fizikal, namun doa sentiasa dipanjatkan agar Allah SWT melindungi mereka daripada dihina, dicaci atau dicederakan rejim Zionis.
“Kita ikhlas, insya-Allah, berjuang demi menegakkan kebenaran dan keadilan. Segala amal mudah-mudahan diterima Allah sebagai pemberat untuk menuju syurga,” ujarnya.
Dr. Fauziah turut mendoakan kekuatan buat rakan seperjuangan termasuk Nur Fazelah Mad Tahil, Nur Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah Helmi, Iylia Balqis Suhaimi dan Nurul Hidayah Mohd Amin agar terus diberi ketenangan dan dijauhkan daripada rasa takut sepanjang misi kemanusiaan itu.
Untuk rekod, Dr. Fauziah merupakan wanita Malaysia pertama menyertai pelayaran ke Gaza dalam misi ‘Women’s Boat to Gaza’ pada 2016. – KOSMO! ONLINE
@drfauziah.hasan Untuk @farahlee.fl dan semua pejuang wanita #flotilla #sumud #conscience #drfauziah ♬ Very Sad – Enchan